Makan Sedap di Betong Thailand | Tuan Kitchen

Sebaik turun daripada Skywalk Aiyerweng Betong, destinasi kami seterusnya adalah untuk mencari makanan kerana perut sudah berkeroncong. Kami menggunakan bantuan google untuk mencari kedai makan best di Betong dan hasil carian membawa kami ke Tuan Kitchen. Tak fikir lama, suami terus memandu mencari lokasi tersebut.


Makan Sedap di Betong Thailand

Lokasi kedai terletak di sebelah kiri jalan sebelum tiba ke Menara Jam. Namun kami kehairanan saat tiba apabila melihat langsung tiada pelanggan di Tuan Kitchen tetapi di kedai bersebelahannya sangat meriah dengan pelanggan. Antara mahu masuk atau tidak, akhirnya kami memutuskan untuk masuk sahaja kerana kami sudah tiba dan perut juga sudah minta diisi. Disebabkan tiada pelanggan, jadi kami dapat memarkir kenderaan dengan mudah di sebelah kedai.


Makan Sedap di Betong Thailand | Tuan Kitchen

Deko di dalam kedai tidaklah terlalu menarik, namun hiasan kedai begini seringkali saya lihat saat kecil sewaktu mengikut abah dan ma pergi ke Kelantan. Kedai kuning kehijauan yang agak sarat dengan hiasan sticker di pintu masuk itu sedikit sebanyak mengembalikan kerinduan saya berjalan-jalan di Kelantan. Saat masuk ke kedai, kami disapa oleh tukang masak yang merupakan anak perempuan kepada pemilik kedai sambil membawa buku menu.


Tuan Kitchen

Saat hidangan sedang dimasak, tuan kedai datang ke meja kami dan duduk berbual. Beliau bercerita tentang anak dan isteri, kedai yang diusahakan dan beberapa topik lain lagi. Menurut beliau, nama Tuan Kitchen dipilih bersempena dengan nama isterinya yang berawalan Tuan, manakala dirinya berawalan Nik. Beliau mempunyai anak yang sebelum ini pernah belajar di UIAM dan kini menjadi tukang masak di kedainya. Memang ternyata benar review di google yang menyatakan tauke kedai seorang yang peramah dan mesra. Seronok berbual dengannya.


Makan Sedap di Betong Thailand | Tuan Kitchen
Makan Sedap di Betong Thailand | Tuan Kitchen

Kami memesan nasi putih untuk dimakan bersama lauk tomyam ayam, ikan siakap masak masam manis dan donut udang. Kakak pula memesan nasi goreng udang untuk menu makan tengaharinya. Walaupun menu yang kami pesan nampak biasa saja, namun rasa dan teksturnya berbeza daripada masakan di Malaysia. Kuah tomyam tidak terlalu pekat namun rasanya umph, cukup masam, cukup garam dan tidak manis. Lauk siakap pula dihidang dalam kuah pekat dengan ikan digoreng garing. Sos yang agak pedas dan manis menjadikan hidangan keduanya serasi dimakan bersama nasi. 


Donut udang pula merupakan menu rare yang pertama kali kami makan. Semasa membuat order, saya bayangkan donut udang yang akan dihidangkan nanti adalah dalam bentuk udang celup tepung tetapi nampaknya saya salah. Rupanya seperti donut dan isinya terasa ada campuran udang dan ayam. Senang cakap rasanya seperti nuget ayam tetapi dengan campuran udang. Saiznya juga agak besar.Bagi hidangan nasi goreng udang, saya tak sempat merasainya kerana terlalu sedap menikmati hidangan nasi saya sendiri. Tapi adik bagi rating tinggi untuk nasi goreng kakak, katanya sedap! 


Makan Sedap di Betong Thailand | Tuan Kitchen
Makan Sedap di Betong Thailand | Tuan Kitchen

Sewaktu sedang menjamu selera, barulah masuk beberapa orang pelanggan lain ke dalam kedai. Nasib baik kami tidak mencari kedai makan yang lain, kalau tidak dah terlepas makan di kedai yang sedap. Ini merupakan kedai makan kedua yang masakannya kena dengan selera dengan harga berpatutan di Thailand. Kami membayar keseluruhan harga makanan tidak sampai RM70. Berada di tepi jalan yang mudah diakses dengan pilihan menu makanan yang sedap tentunya menjadi pilihan kami untuk kembali sekiranya berjalan-jalan di Betong lagi selepas ini. Tuan kedai juga peramah dan sangat mesra pelanggan, jadi in shaa Allah kami akan kembali lagi selepas ini.


Kedai makan Tuan Kitchen terletak di alamat Q3G7+H6F, Betong, Betong District, Yala 95110, Thailand.

Catat Ulasan

0 Ulasan

Rini Ismail Rini Ismail Rini Ismail