Apa itu Unit Trust?

Ramai juga orang di sekeliling saya yang masih tak berapa faham apa sebenarnya unit trust dan bagaimana ia berfungsi. Rugi rasanya bila kita sebenarnya boleh buat lebih banyak keuntungan dengan unit trust tapi disebabkan tak tahu, kita terlepas peluang tersebut.


Sekarang ini ramai yang melabur dalam ASB kerana mahu dapatkan dividen pada akhir tahun. Ha, ASB adalah antara salah satu contoh pelaburan unit trust. Jika disebut unit trust, amanah saham atau unit amanah, sebenarnya semua itu adalah benda yang sama. Jadi kalau baca prospectus ASB tentang unit amanah, ia adalah unit trust. Benda yang sama saja ya.


Apa itu Unit Trust?

Unit trust atau unit amanah (juga disebut amanah saham) adalah satu bentuk pelaburan yang membolehkan orang ramai mengumpulkan wang mereka bersama-sama untuk dilaburkan dalam pelbagai aset seperti saham, bon, dan hartanah. Pelaburan ini diuruskan oleh seorang pengurus dana profesional, yang akan membuat keputusan tentang di mana dan bagaimana wang itu akan dilaburkan. 


Bagaimana Unit Amanah Berfungsi?

Masih tak jelas tentang unit trust? 


Okey, katakan saya merancang untuk membuka sebuah kedai kecil, begitu juga dengan sahabat saya. Walau bagaimanapun tiada seorang pun di antara saya dan sahabat tersebut yang mempunyai cukup wang untuk mula membuka perniagaan masing-masing. Jadi, saya dan sahabat mengumpul wang bersama dan menggunakan wang tersebut untuk membuka sebuah kedai. Kemudian kami melantik seorang pengurus untuk menguruskan kedai tersebut. Keuntungan dari hasil jualan kedai akan dibahagikan mengikut jumlah wang yang setiap orang sumbangkan.

Apa itu Unit Trust?

Unit amanah berfungsi dengan cara yang sama. Dalam cerita di atas, saya dan sahabat boleh diandaikan sebagai pelabur yang berminat untuk membuat pelaburan. Wang yang dikumpulkan dilaburkan dalam pelbagai jenis aset seperti saham syarikat, bon (yang pada asasnya adalah pinjaman kepada kerajaan atau syarikat), atau hartanah. Pengurus bertindak sebagai pengurus dana yang mentadbir operasi jual beli aset manakala keuntungan jualan merujuk kepada agihan pendapatan yang diterima samada melalui dividen atau kenaikan harga per unit dana amanah.


Apa Manfaat Melabur dalam Unit Trust?


1. Diversifikasi

Dengan melabur dalam unit amanah, saya tidak hanya membeli satu jenis aset tetapi lebih. Wang akan dilaburkan dalam pelbagai aset. Ini membantu mengurangkan risiko kerana jika satu pelaburan tidak berjalan dengan baik, pelaburan lain mungkin masih boleh menghasilkan keuntungan sekaligus mengurangkan kerugian dalam nilaian besar. Kata bijak pandai, 'don't put all eggs in one basket'.


2. Pengurusan Profesional 

Seorang pengurus dana yang berpengalaman akan menguruskan wang yang dilaburkan. Ini bermaksud saya tidak perlu membuat keputusan yang sukar di mana untuk melaburkan wang kerana itu adalah tugas pengurus dana. Pengurus dana adalah individu profesional yang menerima pentauliahan untuk memgang jawatannya. Pengurus dana amat berkemahiran untuk menentukan hala tuju pelaburan yang mampu menjana keuntungan.


3. Mudah 

Dengan unit amanah, semua orang mampu melabur meskipun tidak mempunyai wang yang banyak dan pengetahuan yang rendah dalam bidang pelaburan. Pelaburan juga boleh dilakukan dengan modal yang rendah. Pelabur tidak perlu memikirkan tentang wang yang telah dilaburkan kerana semua itu akan diuruskan oleh pengurus dana. Pelabur hanya perlu berkomunikasi dengan konsultan unit amanah untuk mengetahui tentang perkembangan pelaburan dan tindakan yang perlu dilakukan samada menambah atau mengeluarkan wang pelaburan.


Risiko Unit Amanah

Seperti semua jenis pelaburan termasuk unit amanah datang dengan risiko. Contohnya, jika pasaran saham jatuh, nilai pelaburan mungkin turun. Namun, kerana unit amanah melibatkan pelaburan dalam pelbagai aset, risikonya boleh dikurangkan. Selain itu, Dollar-Cost Averaging (DCA) membantu mengurangkan kerugian pelabur.


Siapa yang Patut Melabur dalam Unit Trust?

Pelaburan unit amanah amat sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai masa atau pengetahuan untuk menguruskan pelaburan sendiri. Pelaburan unit amanah mempunyai risiko yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pelaburan saham. Bagi pelabur yang risau kehilangan wang pelaburan, mereka boleh mula melabur dalam pelaburan unit amanah harga tetap seperti ASB kerana tiada risiko kehilangan wang principal. Walaubagaimanapun, keuntungan pelaburan unit amanah harga tetap sebegini menawarkan keuntungan lebih rendah berbanding keuntungan yang ditawarkan unit amanah dengan harga berubah.


Selain itu, individu yang berminat dalam pelaburan jangka panjang dan mempunyai matlamat samada untuk pendidikan, pembelian rumah atau persaraan amat sesuai melabur dalam unit amanah. Ini kerana pelaburan unit amanah bersifat jangka panjang. 


Bila Waktu Terbaik untuk Melabur dalam Unit Trust?

Waktu terbaik untuk melabur dalam unit amanah bergantung pada beberapa faktor. Berikut adalah beberapa panduan umum:


1. Pelaburan Jangka Panjang: Unit trust biasanya paling sesuai untuk pelaburan jangka panjang. Semakin lama melabur, semakin banyak masa pelaburan mempunyai peluang untuk berkembang. Oleh itu, melabur seawal mungkin adalah satu strategi yang baik.


2. Keadaan Pasaran Saham: Melabur semasa pasaran mengalami penurunan (bear market) boleh menjadi peluang yang baik, kerana kita boleh membeli unit pada harga yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, ini memerlukan keyakinan dan kesabaran, kerana pasaran mungkin memerlukan masa untuk pulih. Membeli semasa harga jatuh membolehkan kita membeli pada harga rendah, seolah kita mendapat harga sales.


3. Pelaburan Berterusan (Dollar-Cost Averaging): Daripada cuba mencari masa terbaik untuk melabur, sesetengah pelabur memilih untuk melabur secara berterusan, contohnya membuat pelaburan secara bulanan. Ini membantu mengurangkan risiko membeli pada harga tinggi dan memanfaatkan harga rendah melalui purata kos dolar (dollar-cost averaging).


4. Kedudukan Kewangan: Pastikan kewangan stabil sebelum mula melabur. Elakkan melabur wang dana kecemasan atau wang yang akan digunakan dalam jangka masa pendek. Sekiranya pasaran saham dalam fasa bullish, kemungkinan besar kita boleh membuat keuntungan dalam jangka masa pendek namun sekiranya pasaran berada dalam keadaan bearish, besar kemungkinan pelaburan jangka pendek yang kita rancang ingin keluarkan segera akan mengalami penurunan harga dan mengalami kerugian.


Unit amanah adalah cara yang baik untuk mula melabur, terutama bagi mereka yang baru dalam dunia pelaburan. Ia memberikan peluang kepada pelabur untuk memanfaatkan kepakaran pengurus dana dan melabur dalam pelbagai jenis aset, sambil mengurangkan risiko. Walaupun pelaburan ini mempunyai risiko, diversifikasi yang ditawarkan oleh unit amanah membantu melindungi pelabur daripada kerugian besar.


Jadi, jika ingin mula melabur dan mengembangkan wang, unit amanah mungkin merupakan pilihan yang baik untuk dipertimbangkan.

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Alhamdulillah dah ada pelaburan Unit Trust.. Tapi susah nak tgk dia berganjak naik hihii.. at this moment agent yg buatkan semua benda . Kita tgk sekali sekala jer :D

    BalasPadam
  2. Oalaaah maksudnya reksadana (RD) yaa. Kalo dj sini sebutannya Reksadana kak. Terbagi atas Reksadana saham, Reksadana pasar uang, RD pendapatan tetap, RD campuran, dan RD syariah.

    Yg paling beresiko dah pasti yg RD Saham.

    Saya juga kalo menyarankan teman2 yg belum berani invest saham, kripto, saya pasti anjurkan masuk ke Reksadana saja. Krn investor tak payah cek tiap saat. Semua sudah dihandle oleh fund manager.

    BalasPadam
  3. masa keje kat company asset management dulu, UT laa plg sikit customer nya. sebulan nk dpt 10 org pun payah🤣 tp yg nak.labur saham... hari2 ada je...
    abang sy laa ni tgh join kelas UT. dia agent takaful. so msk kelas UT nk tambah ilmu lg

    BalasPadam

Rini Ismail Rini Ismail Rini Ismail