Tempat Hiking di Bukit Jelutong Terengganu

Sejak suami tertengok viral post di Facebook berkenaan hiking di Bukit Jelutong Terengganu, beliau terus pasang hajat untuk bawa kami mendaki di sana. Katanya kalau bernasib baik, boleh lihat awan karpet. Lagi pula lokasinya berada tak berapa jauh daripada rumah emak. 


Sebelum start, saya nak bagitau yang akhirnya kami berjaya juga menjejak awan di Bukit Jelutong. Baca di ---> Menjejak Awan di Bukit Jelutong Terengganu


Jadi, teruslah kami buat plan. Perancangan awalnya adalah untuk hiking di Bukit Jelutong dan setelah turun daripada hiking, kami boleh terus singgah ke Jambatan Tasik Kenyir yang baru dibuka. Maksudnya kami boleh buat dua perkara dalam satu masa. Mendaki Bukit Jelutong Terengganu untuk menjejak awan karpet dan juga melihat Jambatan Tasik Kenyir kerana kedua-dua lokasi letaknya berdekatan.


Tempat Hiking di Bukit Jelutong Terengganu


Jadi pada hari Jumaat yang lalu, kami mulakan misi mengejar awan seawal jam 6.45 pagi. Serasanya kami telah bertolak seawal mungkin dan menjangkakan pasti tak ramai yang mendaki pada ketika itu namun ternyata silap. Pelbagai jenis kenderaan telah diparkir di tepi jalan utama dan berbondong-bondong juga manusia telah mula mendaki. Kami kelewatan rupanya.


Hiking di Bukit Jelutong Terengganu


Setelah beberapa langkah berjalan kaki melalui lorong kecil menuju ke lokasi, baru kami tahu yang kereta boleh terus diparkir di bahagian dalam lorong tersebut rupanya. Aduh..haha. Tapi tak mengapalah, kami perlu jalan sedikit sahaja. Terdapat sebuah kenderaan di laluan masuk bukit yang menjual makanan dan minuman buat bekalan para pendaki mengalas perut.


Tempat Hiking di Bukit Jelutong Terengganu


Masih ingat tentang cerita saya hiking di Bukit Maras Terengganu? Kami boleh katakan Bukit Jelutong ini adalah adik kepada Bukit Maras. Jalan tanah merah dengan butiran pasir halus menyukarkan perjalanan hampir sama seperti yang terdapat di Bukit Maras. Kami perlu berhati-hati melalui trek berpasir kerana kehadiran pasir halus membuatkan kasut tidak dapat mencengkam tanah dan kami mudah menggelongsor turun. 


Namun disebabkan ketinggiannya hanya separuh daripada Bukit Maras, jadi lokasi ini lebih strategik untuk didaki bersama anak-anak. Tidak terlalu melelahkan dengan perjalanan yang lebih singkat, kami disajikan dengan pemandangan pepohon hutan yang menghijau.


Tempat Hiking di Bukit Jelutong Terengganu


Namun disebalik pemandangan cantik di puncak bukit yang menanti kehadiran pendaki, kami juga turut disajikan dengan pemandangan hutan yang semakin gondol. Tidak pasti samada untuk pembangunan atau bagi proses tanaman semula tumbuhan namun diharapkan semoga kehijauan di lokasi ini akan terus terpelihara supaya kami masih dapat menikmati keindahan pemandangannya pada masa depan.


Seolah Berada di Awan


Kagum setibanya kami di puncak! Cantik dan seolah kami berada di atas awan! Namun awan karpet yang dijejak tidak dapat kami temui. Tentulah tiada kerana matahari sudah naik segalah dan kami telah kelewatan tiba. Namun nasib baiklah kami dihiburkan dengan pemandangan seluas saujana mata memandang dengan langit lazuardi yang menenangkan jiwa.


Tempat Hiking di Bukit Jelutong Terengganu


Kami tak lepaskan peluang untuk bergambar dan terus bergambar, dengan pelbagai sudut menarik yang terdapat di Puncak Bukit Jelutong, tentulah berbaloi disimpan dalam galeri phone atau dikongsikan di laman Instagram. Perjalanan naik yang mengambil masa selama 45 minit tak terasa memenatkan sebaik tiba di puncak.


Tempat Hiking di Bukit Jelutong Terengganu


Pondok kecil menjual makanan juga turut tersedia di puncak Bukit Jelutong, begitu juga dengan tong sampah. Cuma tandas tiada di sepanjang perjalanan naik dan di puncak. Jadi pastikan sebelum mula mendaki, buang dahulu apa-apa yang patut di bawah ya :P


Perjalanan Turun yang Singkat


Perjalanan turun dari puncak hanya mengambil masa 15 minit sahaja. Eh, biar betul! Naik 45 minit dan turun hanya 15 minit? Macam tak logik. Sebenarnya, semasa dalam perjalanan turun, kami bertemu dengan En CW Yusof yang merupakan penjaga di sini. Beliau tawarkan kami perjalanan turun menaiki kenderaan pacuan empat rodanya kerana kebetulan beliau juga dalam perjalanan turun.


Tempat Hiking di Bukit Jelutong Terengganu


Tentulah kami tak menolak dan alhamdulillah, Encik Yusof bermurah hati berkongsi maklumat berkenaan Bukit Jelutong dan menceritakan serba sedikit mengenai lokasi tersebut. Malahan Encik Yusof turut cadangkan kami untuk memarkir kereta di lokasi berdekatan melalui jalan berpagar sekiraya ingin kembali mendaki lagi. Terima kasih Encik Yusof, jasamu akan kami kenang selalu :)


Walau bagaimana pun, akibat leka bersembang setelah turun daripada hiking dan bertemu pula dengan Encik Yusof, kami terlupa untuk ke jambatan baru Tasik Kenyir. Sesampainya di rumah baru teringat yang kami ada dua lokasi ingin dituju pada hari itu. Aduh, terlupa pula. Tapi tak mengapalah, lepas ini kami boleh hiking lagi di Bukit Jelutong dan boleh terus ke Tasik Kenyir pula!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Wah...sama la kita minat hiking...SA jer blom start semula ni...hujung bulan atau awal bulan 11 la start...sibuk jer memanjang kan....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yey, gimme five kak! Feeling lepas hiking tu yang best kan kak. Breathing lancar, badan tak rasa berat..body movement pun lebih ringan. Sebab tu kitorang minat hiking.

      Padam

Rini Ismail Rini Ismail Rini Ismail