Sementelah berada di Pantai Penarik, tidak lengkap rasanya jika tidak menjamah hidangan celup tepung yang mudah didapati di sepanjang restoran pesisiran pantainya yang membiru. Disebabkan penginapan di >> Homestay berdekatan Pantai Penarik : Allur Galley Suite membolehkan kami menikmati diskaun sebanyak 10% untuk hidangan di restoran Mr Celup Tepung Station, jadi kami tidak lepaskan peluang untuk menjamu selera di restoran tersebut. Ternyata Mr Celup Tepung Station adalah restoran dengan dekorasi cantik dan menarik yang wajib dikunjungi sekiranya berada di sekitar Pantai Penarik!
Mr Celup Tepung Station - Cantik dan Instagrammable
Bergerak secara berkumpulan dengan menaiki kenderaan, kami tiba di di restoran Mr Celup Tepung Station selepas 15 minit perjalanan dari Allur Galley Suite. Sebaik tiba di ruang parking, mata saya telah mula menangkap pemandangan yang menarik terdapat di bawah pokok berhadapan dengan ruang parking. Beberapa susunan hammock digantung secara bertingkat di antara pohonan kelapa menjamu mata kami sebaik keluar daripada kereta.
Susunan hammock yang berwarna-warni ini menjadi tarikan pelanggan untuk menikmati angin pantai secara santai atau mungkin juga untuk bergambar. Sebuah kedai mini turut terdapat di sebelah pohonan kelapa bagi mereka yang ingin membeli layang-layang atau keperluan lain untuk anak-anak bermain di tepi pantai.
Disebabkan perut telah mula berkeroncong, kami tinggalkan dahulu ruangan berkenaan dan bergerak ke dalam restoran untuk mengisi perut. Namun sepanjang perjalanan ke restoran, mata saya menangkap beberapa sudut menarik yang wajib dijadikan port bergambar selepas makan kerana dekorasinya yang cantik dan sangat instagrammable.
Kagum rasa hati kerana saya tidak menyangka restoran yang nampak biasa di bahagian luar ini rupa-rupanya mempunyai keistimewaan dari segi hiasan pada bahagian dalamnya. Meskipun simple namun hiasannya yang menarik sangat sesuai dijadikan tempat bagi bakal pengantin membuat photoshoot pre--wedding. Tidak terasa lapar saat melihat dekorasinya yang superb dan cantik!
Sebaik selesai membuat pesanan makanan, apa lagi yang kami tunggu sementara menunggu hidangan tiba? Bergambarlah! Sibuk saya ke sana sini bersama Auni untuk bergambar. Auni sebagai model dan saya merangkap photographer tidak bertauliah menjalankan operasi bergambar di sekitar restoran.
Menu di Mr Celup Tepung Station
Pelbagai menu masakan samada panas, sup atau tradisional Terengganu ada disediakan di restoran Mr Celup Tepung Station. Makanan wajib rasa bagi pengunjung tentulah menu utama celup tepung yang merujuk kepada nama restorannya itu sendiri. Menu celup tepung yang biasa adalah samada ikan, udang, sotong atau ketam celup tepung di samping makanan tambahan seperti keropok dan pisang goreng. Selain itu, sata ikan dan keropok lekor yang merupakan makanan tradisional Terengganu adalah antara juadah yang wajib dicuba.
Hanya ingin bersembang dan menghabiskan masa? Jadi anda mungkin boleh membuat pesanan minuman air kelapa, ABC atau coconut shake sambil menikmati angin pantai yang menampar pipi sambil menghabiskan masa bersama teman dan keluarga. Suasana santai dalam tiupan bayu pantai semulajadi pasti akan membuatkan masa berlalu terasa pantas.
Kami memilih kedudukan meja yang paling hujung berdekatan pantai demi untuk menikmati pemandangan air dan awan yang membiru. Ditemani sahabat handai dan keluarga sambil menikmati hidangan menyelerakan di bawah hamparan pasir yang memutih berlatar belakangkan pantai menjadi penyeri saat kami menjamu selera. Awesome!
Dilatari dengan desiran ombak memukul pantai sebagai halwa telinga pada ketika itu, kami memilih udang dan sotong celup tepung, serta tambahan sata ikan sebagai menu pembuka mulut. Hidangan utama pula merangkumi pelbagai menu samada nasi atau mee menjadi pilihan kami.
Saya memilih maggi goreng ketam manakala suami pula mengisi perut dengan mee rebus. Sambil bercerita, mulut tidak jemu menyuap makanan sehinggalah kami tersandar kekenyangan. Sebagai penutup, kami akhiri sesi makan tengahari dengan menu pemanis mulut iaitu ABC aiskrim yang sejuk dan sedap.
Bagi mereka yang ingin mengerjakan solat, usah bimbang kerana di restoran Mr Celup Tepung Station juga menyediakan kemudahan surau buat pelanggannya. Tandas turut disediakan bagi mereka yang ingin menyahut seruan alam. Ingin membuat day trip ke pulau? Berjumpa dengan owner restoran dan beritahu hajat anda. Semua ada..
Ingin ke Mr Celup Tepung Station? Ini Alamatnya..
Meskipun sering melalui jalan Pantai Penarik sebelum ini, namun saya tidak pernah menyangka terdapat restoran yang cantik mempesonakan di sini kerana tidak pernah berhenti untuk singgah. Jika dilihat dari luaran, saya tidak menyangka bahawa ia merupakan sebuah restoran yang cantik berlatar belakangkan pantai membiru. Sebaik menjejakkan kaki di bahagian dalam restoran, terasa seolah berada di lokasi yang berlainan pula.
Cantik benar dekorasi dalamannya meskipun simple. Adakah anda juga tidak pernah menjejak kaki ke restoran ini? Apa kata singgah ke restoran Mr Celup Tepung Station sekiranya anda berkunjung ke Terengganu. Ambil gambar sebanyak mungkin dan kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah. Jom? Alamat restoran Mr Celup tepung Station adalah seperti berikut :
Mr Celup Tepung Station
Lot 4061, Hadapan Kubur Kampung Penarik,
22120 Bandar Permaisuri,
Terengganu
No telefon : 019-988 7958
Owner kedai juga seorang yang peramah dan mesra dalam menguruskan permintaan pelanggannya. Meskipun baru bersua muka, mulut beliau yang suka dikenali sebagai Kak Pie tidak lokek menjawab soalan dengan senyuman sentiasa terukir di bibir. Semoga perniagaan restoran Mr Celup Tepung Station beliau akan terus berkembang dan bertambah maju jaya selepas ini.
Saya pasti akan kembali lagi bersama keluarga untuk mengisi perut di Mr Celup Tepung Station sekiranya melalui Jalan Penarik pada masa akan datang. Restoran ini sangat mendamai dan menenangkan jiwa kerana setiap suapan makanan ke mulut, pasti ditemani dengan desiran ombak menghempas pantas dan pemandangan pantai dan awan membiru yang sangat cantik sekali!
15 Ulasan
cantik lagi mendamaikan. perut kenyang kena bayu laut boleh trs lena ni hehehe
BalasPadamdok ajok doh kita..sampai hati..mls kawan..haha
BalasPadambest kat sana.. siapa pergi memang tak rugi... rasa nak pergi lagi... sedappp
BalasPadamdah la view cntik..menu makanan pon sedap...wah! harus pergi ni..
BalasPadamjadi rindu Terengganu pulak dah tengok entry ni. tahun lepas pergi sana.. ada singgah jua kedai2 kat Pantai Penarik ni.. spanjang pantai memang lawa2.. rindu laaaa celop tepong !!
BalasPadamTempat cantik + makanan sedap .
BalasPadammmg kena ltk dlm wishlist nk pergi ni
wow mmg cantik lah.. best bergambar kat sini ni
BalasPadamsedapnya.
BalasPadamwowwwww. kagum jap tengok pemandangan kat sini. memang betui la akak. sangat instagrammable. sesuai amek gambar photoshoot pun ok kan. selalu kalau ganu dengar pok nong je. pasnih boleh ke sini plak. thanks akak for review :)
BalasPadamWah! cantik view memang insta worthy giteww...
BalasPadamMrs. A suka apa-apalah yang dicelup tepung hehehe...
memang instagrammable sgt. wajib ke sini nanti. nk try celup tepung dia.
BalasPadamalahai.. makanan sedap, tempat cantik, laut biru.. mmg perfect betul tpt makan nie.. selalu juga singgah pantai penarik, tapi tak pernah ke sini lagi..
BalasPadamcantik tempat ni :)
BalasPadamselalu kalau g pantai penarik asyik amik ikan, udang , sotong celup tepung je. nanti pergi lg kena order mcm2. tgk gambar pun dh terliur
BalasPadamtatkala berpuasa saya membaca artikel ini...memang terasa la ujian untuk makan..
BalasPadamada peluang memang mahu juga pergi ke tempat ini